Soalan:ustaz bolehkah solat dhuha dikerjakan secara berjemaah??Apakah dalilnya??
Jawapan:
Solat dhuha itu sendiri hukumnya sunat muakkad,paling sedikit dua rakaat dan sebanyak-banyaknya lapan rakaat. Menurut Imam Ar-Rauyani dan Imam Ar-Rafie, sebanyak-banyaknya dua belas rakaat. Dikerjakan dengan sekali salam,setiap dua rakaat. Waktunya adalah sejak terbitnya matahari sehingga tergelincirnya matahari(Imam Nawawi, Al-Majmu’ Syarah Al-Muhadzdzab, 4/35-36)
Memang pada umumnya solat dhuha dianggap solat sunat (tathawwu’) yang tidak disunnahkan/disyariatkan berjemaah.(Imam nawawi,Raudhah Atn-Thalibin, 1/22;As-Sayyid Al-Bakri, I’anah Ath-Thalibin,1/272)
Namun demikian, sebahagian ulama telah meneliti ulang permasalahan tersebut. Dan mereka menemukan dalil bahawa solat dhuha ternyata boleh dikerjakan secara berjemaah. Syeikh Mahmud Abdul Latif ‘Uwaidhah , misalnya mengatakan “Solat dhuha ini dapat dikerjakan secara bersendirian dan dapat pula dikerjakan secara berjemaah”. Beliau lalu menyebutkan dalilnya, iaitu hadis dari “Itban bin Malik RA yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad,Bukhari,Muslim, dan ibnu Khuzaimah.(Mahmud Abdul Latif ‘uwaidhah, Al-Jami’li Ahkam Ash Shalah,2/399)
Dalam kitab Fathul Bahri(Syarah Sahih Bukhari) karya Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani, dinukilkan hadis ‘Itban bin Malik RA tersebut, bahawa Rasulullah Saw telah melakukan solat dhuha (subhata adh-dhuha) di rumah baginda(rumah ‘Itban bin Malik), lalu orang-orang berdiri di belakang baginda dan mereka pun bersolat dengan solat baginda(fa-qaamu waraa’ahu fa-shallu bi shalaatihi).(Ibnu Hajar Al-‘Asqalani, Fathul Bahri.4/177)
Imam Ibnu Hajar menjelaskan bahawa hadis di atas adalah hadis riwayat Imam Ahmad. Beliau juga menyatakan bahawa hadis yang semakna ini telah diriwayatkan oleh Imam Muslim dari sahabat Ibnu Wahab bin Yunus RA(Ibnu Hajar Al-‘Asqalani,Fathul Bahri,4/177;HR Ahmad no. 22657;Ibnu Khuzaimah no.1165)
Kitab lain yang menyatakan bolehnya solat dhuha berjemaah adalah kitab Al-Fatawa Al-Fiqhiyah Al-Kubro(2/250), berdasarkan hadis ‘A’idz bin Amr RA yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Imam Tabrani. Dari ‘A’idz bin Amr RA dia berkata,”suatu saat air sedikit,maka Rasulullah Saw pun berwuduk dengan air dalam satu gelas(qadah) atau satu mangkuk besar (jafnah). Lalu Rasulullah Saw menasihati kami kerana sedikitnya air ketika itu. Rasulullah bersabda, ‘Orang yang bahagia di antara kita adalah orang yang terkena musibah, tapi dia tidak memperlihatkan itu kepada kita. Kecuali kalau musibah itu sudah menimpa semua orang dalam satu kaum.’ Kemudian Rasulullah Saw solat dhuha bersama-sama kami(tsumma shalla binaa rasulullah Saw adh-dhuha).”(HR Ahmad no. 19721; Ath-Thrabani dalam Al-Mu’jam Al-Kabir, no. 14462).
Berdasarkan dalil-dalil di atas, maka jelaslah bahawa melaksanakan solat dhuha secara berjemaah adalah boleh (ja’iz) menurut syara’, dan bukan merupakan suatu bi’daah. Sebab Rasulullah Saw sendiri pernah melaksanakan solat dhuha secara berjemaah dengan para sahabat.
Allah knows the best….
thnx 4da info
BalasPadam